Sinopsis Karlos Bolos

Kisah bermula setelah 18 bulan berada di Pusat Pemulihan Akhlak Teluk Panglima, Karlos (Johan As'ari) dan Kenji (Syazwan Zulkifly) sedang membuat persiapan untuk pertandingan pidato dan melakukan kajian dengan mencari maklumat di akhbar. Ketika membuat kajian, Kenji telah ternampak sesuatu yang sangat menarik perhatiannya di dalam akhbar. Artikel yang dipaparkan adalah mengenai seorang artis yang diberkas kerana mabuk di kelab malam. Yang diperhatikan oleh Kenji sebenarnya adalah gambar seorang lelaki yang amat dibencinya iaitu Sunny (Zizan Razak).

Selepas dipujuk, barulah Kenji menceritakan perkara sebenar bahawa ibunya adalah seorang pelacur dan Sunny merupakan bapa ayamnya. Sunny juga bertanggungjawab memisahkan Kenji dari ibunya, Cuwie (Dira Abu Zahar). Tiba-tiba terkeluar dari mulut Kenji cadangan yang gila. Dia mahu keluar dari pusat tersebut untuk mencari Sunny. Mungkin dia boleh menyelamatkan ibunya yang berada entah di mana.

Karlos dan Kenji meloloskan diri dari pusat pada tengah malam dan tanpa disedari oleh pelatih lain. Oleh kerana terdesak tiada kereta yang hendak berhenti untuk mereka, Karlos dan Kenji bergegas ke stesen petrol. Kebetulan pada waktu itu, Ella (Tiz Zaqyah) dalam perjalanan hendak ke Kuala Lumpur dan dia berhenti sebentar untuk mengisi minyak. Karlos dan Kenji menggunakan peluang ini untuk mengugut membunuh Ella jika dia tidak memenuhi kehendak mereka.

Kenji mengarahkan Ella untuk memandu terus ke Kuala Lumpur. Pada masa yang sama, Ella bukanlah seorang yang bodoh, dia secara rahsia telah menghubungi pihak polis menerusi aplikasi my distress alert di telefon bimbitnya. Walaupun tidak bercakap tetapi pihak polis mengetahui apa yang sedang berlaku dan mereka cuba mengesan nombor telefon Ella.

Tindakan Ella berjaya dikesan oleh Kenji yang kemudiannya merampas telefon bimbit Ella. Suasana menjadi lebih tegang apabila Ella bertindak memandu kereta dengan laju. Harapan Ella agar kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dapat merakam atau polis trafik akan mengesannya. Kenji sedar dan dia cuba mengawal stering hingga kereta mereka terbabas.

Pada waktu yang sama, kehilangan Karlos dan Kenji disedari oleh ketua dorm ketika melakukan pemeriksaan dorm. Ketua dorm memaklumkan kepada warden seterusnya berita ini disampaikan kepada pihak berkuasa. Gerakan mencari dua remaja ini dikerah, orang ramai diminta memberi kerjasama untuk memberi maklumat kepada pihak polis. Inspektor Mahadhir yang pernah menangkap Karlos dan Inspektor Azi (Rusdi Ramli) yang pernah menangkap Kenji berpadu untuk memburu dua pelatih Pusat Pemulihan Akhlak Teluk Panglima ini.